Nota bank Dolar_Selat

Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang memperkenalkan nota dolar 5 dan 10 dolar pada 1898, diikuti oleh 50 dan 100 dolar pada 1901 serta 1-dolar pada 1906. Terbitan-terbitan kecemasan 10- dan 25-sen dibuat antara 1917 hingga 1920. Nota 1,000 dolar dikeluarkan pada 1930 tetapi pada dekad 1930-an, hanya nota 1, 5, dan 10-dolar dikeluarkan.

Terbitan kerajaan Negeri-negeri Selat (1899 - 1942)

Ratu Victoria (1837 - 1901)

Kerajaan Negeri-negeri Selat mula-mulanya diberi kuasa untuk mengeluaran nota-nota mata wang menerusi Ordinans VIII 1897 yang berkuatkuasa pada 31 Ogos 1898. Nota-nota itu, walaupun bertarikh 1 September 1898 tidak dikeluarkan kepada khalayak sehingga 1 Mei 1899. Kedua-dua Chartered Bank dan Hong Kong and Shanghai Bank masih mengeluarkan nota bank yang diedarkan bersama-sama mata wang yang rasmi. Semua nota boleh ditukarkan secara bebas dengan dolar Mexico atau pelbagai duit syiling perak yang lain yang merupakan wang sah di Tanah Jajahan.

Raja Edward VII (1901 - 1910)

Raja Edward VII naik takhta pada Januari 1901 dan mengeluarkan siri mata wang baharu yang bertarikh 1 Februari 1901, dicetak oleh Thomas de la Rue & Co. Ltd. dari London. Oleh sebab saiz dan reka bentuk nota 5 dan 10 dolar terbitan dahulu hampir sama, saiz nota 5 dolar kini dikurangkan untuk memudahkan pembezaan.

Pada 1903, duit syiling perak satu dolar ditempa semata-mata untuk Negeri-negeri Selat, dengan ini kemudian menjadi unit nilai piawai. Semua duit syiling dolar perak yang lain dalam edaran dinyahwangkan pada 1904. Tidak lama kemudian, kenaikan harga perak yang tinggi memaksa kerajaan menarik balik dolar Selat terbitan pertama itu dan menggantikannya dengan duit syiling yang mengandungi kurang logam perak.

Dalam tempoh pertukaran, ketakutan kekurangan duit syiling menyebabkan pengenalan nota satu dolar yang kadar pertukarannya ditetapkan pada logam emas, berbanding dengan logam perak. Untuk menguatkuasakan itu, duit syiling emas raja British diisytiharkan sebagai wang sah buat pertama kali, dan dolar Selat diberikan nilai sembarangan sebanyak dua syiling dan empat peni. Nota dolar itu terbukti amat popular dan oleh itu, dikekalkan untuk terbitan-terbitan yang berikut sehingga ia memenuhi sebahagian besar keperluan untuk duit syiling perak. Menjelang 1906, mata wang rasmi dalam edaran naik sehingga $21,866,142, manakala mata wang yang dikeluarkan oleh bank-bank swasta jatuh sehingga $1,329,052.[1]

Raja George V (1910 - 1936)

Semasa pemerintahan Raja George V, jenis mata wang diperluas sehingga 1,000 dolar demi memudahkan urus niaga penjelasan antara bank. Pada 1915, keputusan diambil untuk mengubah sama sekali reka bentuk nota 50, 100, dan 1,000 dolar. Jenis-jenis mata wang itu yang dicetak oleh Thomas de la Rue masing-masing dikeluarkan buat pertama kali pada Februari 1920, Oktober 1919, dan Mei 1917. Nota 10,000 dolar kemudian dikeluarkan buat pertama kali pada Oktober 1922 hanya untuk kegunaan pindahan antara bank dan tidak diedarkan kepada khalayak.

Raja Edward VIII (1936)

Tiada terbitan khas nota dibuat semasa pemerintahan Raja Edward VIII yang singkat.

Raja George VI (1936 - 1952)

Pada September 1933, Sir Basil Blackett dilantik oleh Menteri Tanah Jajahan untuk mengetuai sebuah suruhanjaya bagi mempertimbangkan penyertaan Negeri-negeri Melayu, termasuk Brunei, dalam pengeluaran mata wang Negeri-negeri Selat. Laporan Blackett mengesyorkan kuasa tunggal untuk mengeluarkan mata wang bagi kawasan itu diamanahkan kepada sebuah Suruhanjaya Mata Wang Seluruh Tanah Melayu. Syoran itu diterima oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, dan Brunei. Undang-undang digubal menerusi Ordinans Mata Wang Negeri-negeri Selat (No. 23) 1938 dan diratifikasi oleh negeri-negeri yang berkenaan pada 1939.

Antara 27,000,000 nota satu dolar dan 5,600,000 nota lima dolar dalam siri yang sama yang dihantar ke Tanah Melayu sebelum serangan Jepun, 25,800,000 nota satu dolar dan 5,000,000 nota lima dolar tiba di Tanah Melayu dengan selamat. Antara yang tidak tiba, 700,000 nota satu dolar dan 500,000 nota lima dolar dirampas oleh tentera Jerman ketika kapal SS Automedon ditawan, dengan 500,000 nota satu dolar dan 100,000 nota lima dolar yang lain hilang apabila kapal SS Eumanes tenggelam. Tiada sebarang nota tersebut pernah diedarkan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat dan semasa serangan Jepun, nota-nota itu masih disimpan di dalam bilik kebal perbendaharaan di Singapura dan Pulau Pinang. Semua nota tersebut ditandatangani oleh L.G. Corney, Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang.

Ketika tentera British berundur dari Pulau Pinang pada Disember 1941, 600,000 nota satu dolar dan 100,000 nota lima dolar ditinggalkan dalam perbendaharaan dan kemudian jatuh ke dalam tangan Jepun. Di Singapura, 4,200,000 nota satu dolar dan 1,000,000 nota lima dolar dimusnahkan, dengan 21,000,000 nota satu dolar dan 3,900,000 nota lima dolar dihantar ke India atas alasan keselamatan.

Apabila askar-askar British menduduki semula Singapura pada September 1945, mereka menjumpai semua nota dalam siri itu yang ditinggalkan, kecuali satu ikatan seribu nota yang ditawan di Pulau Pinang daripada bilik kebal sub-perbendaharaan Jepun.

Semua stok mata wang dimusnahkan pada 1946 kerana ketakutan bahawa nota-nota dari kapal yang ditawan mungkin diserahkan oleh tentera Jepun kepada sekutu Jerman mereka dan disimpan sehingga bila-bila masa apabila nota-nota itu sah digunakan. Bagaimanapun, tidak terdapat sebarang bukti bahawa nota-nota itu pernah sampai di Tanah Melayu.

Pentadbiran Tentera British di Malaya (1945 - 1946)

Angkatan tentera British mendarat di Pulau Pinang pada 3 September 1945 dan di Singapura pada 5 September 1945 lalu beransur-ansur menduduki semula seluruh Tanah Melayu. Sehingga 1 April 1946, kewangan negara ditadbirkan oleh Jabatan Pengawal Kewangan dan Akaun Kor Pembayaran Gaji Tentera. Mata wang diedarkan bersandarkan bayaran Pejabat Perang dalam paun sterling kepada Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Tanah Melayu.

Keputusan diambil bahawa duit pisang Jepun yang masih dalam edaran langsung tidak akan diakui dan justera itu, langsung tidak bernilai kerana semasa pendudukan Jepun selama tiga setengah tahun, pemerintahan tenteranya dianggarkan mengeluarkan sekurang-kurangnya 4,000 juta dolar, berbanding dengan edaran 220 juta dolar pada 1941.[2] Perkhidmatan pembayaran menyediakan nota-nota mata wang daripada 1 sen hingga 10,000 dolar yang telah dicetak di Britain, sama ada sebelum ataupun semasa pendudukan Jepun tetapi belum menghantar ke Tanah Melayu. Nota-nota 10-dolar yang dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Tanah Melayu pada 1940 serta nota-nota Negeri-negeri Selat yang lama, kecuali jenis mata wang 1,000 atau 10,000 dolar serta 10 dan 25 sen, diisytiharkan sebagai wang sah. Bagaimanapun, nota-nota tersebut ditarik balik secara beransur-ansur, sebaik sahaja terbitan-terbitan baharu mencukupi untuk memenuhi keperluan negara.

Pentadbiran awam

Pentadbiran awam dipulihkan pada 1 April 1946 dan pada tarikh yang sama, Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Malaya disusun semula menerusi Ordinans No.4 1946 di Singapura dan Ordinans No.5 1946 di Malayan Union. Lembaga ini beroperasi dalam cara yang sama dengan caranya sebelum pendudukan Jepun. Semua nota bank yang bertarikh sebelum 1 Julai 1941 dinyahwangkan pada 31 Ogos 1948.

Ordinans Mata Wang No. 44 1952 Tanah Jajahan Singapura, No. 33 1951 Persekutuan Tanah Melayu, No. 10 1951 Borneo Utara British dan No. 1 1951 Tanah Jajahan Sarawak mengikat perjanjian antara kerajaan-kerajaan tersebut dengan Brunei untuk mengasaskan sebuah Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang sebagai pihak berkuasa mencetak wang yang tunggal di dalam Persekutan Tanah Melayu dan Borneo British. Perjanjian ini yang berkuatkuasa pada 1 Januari 1952 terdiri daripada lima orang anggota:

  1. Setiausaha Kewangan Singapura (Pengerusi)
  2. Menteri Kewangan untuk Persekutuan Tanah Melayu
  3. Gabenor Sarawak
  4. Gabenor Borneo Utara British
  5. Residen British di Brunei

serta dua orang anggota yang lain yang dilantik menerusi kesepersetujuan antara kerajaan-kerajaan peserta.